Ahad, 27 Mei 2012

Lesen niaga hanya RM50

KUALA LUMPUR: Kerajaan secara berterusan akan membela nasib peniaga dan penjaja kecil bukan saja disebabkan sumbangan besar mereka kepada ekonomi negara, malah rakyat mampu mendapatkan pelbagai barangan serta hidangan lazat mereka pada harga munasabah.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peniaga dan penjaja kecil hanya perlu membayar caj pendaftaran atau pembaharuan lesen sebanyak RM50 saja untuk tempoh lima tahun.

“Saya bagi pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan caj pendaftaran kali pertama dan pembaharuan untuk pemilikan tunggal atau perkongsian hanya RM50 untuk lima tahun berbanding RM150 dan RM300 sekarang.

“Bayaran kompaun pendaftaran lewat dan pembaharuan lewat akan dikurangkan sebanyak 50 peratus. Pakej ini akan dilaksanakan bermula 1 Jun hingga 31 Disember ini,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Warga Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia di Dataran Merdeka di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Ramli Norani dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola majlis itu, Datuk Roslan Ali Omar.

Perdana Menteri berkata, insurans berkelompok turut disediakan kepada golongan peniaga dan penjaja.

“Kita perlu mengemaskini data pendaftaran sebab satu skim insurans berkelompok disediakan dan butirannya akan diteliti serta dilaksanakan sedikit masa lagi.

“Usaha ini penting kerana jika peniaga jatuh sakit mereka tidak ada Socso (Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia) jadi beban kos rawatan terpaksa ditanggung keluarga,” katanya.

Beliau berkata, hal ehwal peniaga dan penjaja kecil juga diletakkan di bawah KPDNKK supaya semua masalah dapat dirujuk segera.

Najib berkata, sewaktu di bangku sekolah dulu, beliau mengayuh basikal dari rumah di Sri Taman ke Hospital Tangling kerana mahu membeli nasi lemak di bawah pokok.

“Ia adalah pengalaman manis saya dan sehingga kini saya dan isteri akan membeli nasi lemak di situ kalau teringin.

“Bila saya membuat tinjauan mesra pula, kalau ada peluang saya singgah di gerai cendol atau minum teh tarik kerana bagi saya cendol dijual peniaga kecil lebih sedap daripada disediakan di hotel lima bintang. Rojak yang dijual juga lebih sedap daripada di restoran mewah.

“Saya tidak boleh lupa kenangan manis dulu dan tetap perjuangkan masa depan peniaga dan penjaja kecil,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan