Rabu, 19 Mac 2014

Kekayaan bukanlah kejayaan

SEMUA orang mahukan kejayaan. Pelajar mahukan kejayaan 17A1 dalam peperiksaan, peniaga mahukan keuntungan berlipat ganda, pensyarah mahu cepat mendapat gelaran profesor, pelajar universiti mahu cepat dapat kerja dan pegawai gred 54 mahu cepat naik pangkat Jusa C.
Masalah kebanyakan orang ialah bukannya mereka tidak boleh mengecapi kejayaan. Halangan terbesar mereka ialah salah faham erti kejayaan. Kefahaman yang selalu dinyatakan ialah kejayaan berada pada mereka yang berbakat, pintar dan memiliki sesuatu yang luar biasa.
Kita disogok dengan kejayaan adalah kekayaan. Lahirlah jutawan internet, jutawan MLM dan jutawan tani yang memiliki harta dan kekayaan.
Kekayaan yang melimpah ruah. Maka, wujudlah ungkapan-ungkapan hebat berbunyi, wang tanpa menjual, bekerja dari bilik tidur dan wang bekerja untuk anda.
Kemungkinannya matlamat mencapai kekayaan adalah salah faham terbesar tentang kejayaan. Ramai orang yang percaya jika mereka memiliki kekayaan wang dan harta, hidup mereka akan bahagia selama-lamanya.
John D. Rockfeller, seorang jutawan dalam bidang industri telah ditanya berapakah sebenarnya yang diperlukan untuknya berpuas hati terhadap kehidupan yang dilaluinya. Dia menjawab, “Hanyalah sedikit.”
Pada tahun 1923, lapan orang yang mempunyai wang melebihi kepunyaan kerajaan Amerika Syarikat berkumpul di Edgewater Beach Hotel di Chicago. Dua puluh lima tahun kemudiannya; Charles Schwab, hidup dengan wang yang dipinjam selama lima tahun sebelum meninggal dunia. Howard Hopson, menjadi gila.
Athur Cutton, meninggal dunia di luar negara dalam keadaan muflis. Richard Whitny, dihantar ke pusat pemulihan. Albert Fall, dibebaskan dari penjara supaya boleh menghembuskan nafas terakhir di rumah. Jesse Livermore, Iver Krueger dan Leon Frazer telah membunuh diri!
Apakah erti kejayaan? Kesudahan hidup yang menjadi penentu, bukannya permulaan.
“Dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan.” Surah ad- Dhuha : 4
Senarai Fortune 500 yang diterbitkan pada tahun 2006 telah menyenaraikan individu dan syarikat yang kaya-raya. Bill Gates masih lagi menjadi orang terkaya di dunia selama 13 tahun dengan jumlah kekayaan US$56 bilion, diikuti oleh rakan karibnya Warren Buffett dengan nilai kekayaan US$52 bilion.
Itulah kekayaan yang dapat dicapai oleh manusia pada hari ini. Wang dan kekayaan adalah impian. Dengan wang, dunia boleh dibeli. Dengan wang, nilai boleh diketepi. Dengan wang, hati menjadi mati.
Seorang peniaga Cina telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya sehingga menarik perhatian usahawan-usahawan yang lain untuk melabur dengannya. Nilai keuntungan tahunan perniagaannya sangat membanggakan dan beliau bercadang untuk melaksanakan sistem francais.
Di Malaysia, beliau melihat kejayaan dalam perniagaan harus dikongsi oleh semua kaum. Bagi membantu usahawan Melayu, beliau merancang sistem francais yang unik bagi membantu usahawan Melayu. Dia telah menyediakan pelan francais yang unik dan diberikan secara percuma kepada usahawan Melayu yang terpilih.
Dia juga membantu mereka mendapatkan dana dan mendapatkan lokasi yang strategik. Dia mengharapkan rakan-rakan usahawan Melayu yang dibimbingnya akan meraih kejayaan.
Projek perniagaan francais yang bermula dengan penuh kesungguhan berakhir dengan kegagalan. Rugi. Ada yang ditutup. Kelemahan ketara ialah pengalaman berniaga dan pengurusan kewangan. Usahawan Melayu yang dibantunya tidak dapat menggunakan kesempatan dan peluang yang diberi untuk memajukan diri dan perniagaan. Bagaimanapun ada yang dapat terus bertahan dan menjadi francais Melayu yang terbaik. Keuntungan yang membanggakan. Usahawan ini melakukannya sendiri.
Kejayaan berniaga bukannya datang secara ajaib, dijampi atau menggunakan mentera tertentu. Ia memerlukan nilai-nilai yang khusus dan melibatkan proses berfikir, merancang dan bertindak.
Tiger Woods, seorang pemain golf profesional dan terkemuka pernah ditanya apakah rahsia kejayaannya sebagai seorang pemain golf. Beliau memberitahu tidak ada apa-apa rahsia. Yang penting kejayaannya adalah kerana usaha, latihan dan inisiatifnya hendak menjadi pemain golf yang paling berjaya di dunia.
Ingat pesanan Ali bin Abi Talib kepada anaknya: “Kekayaan yang paling berharga adalah akal. Kefakiran yang paling besar adalah kebodohan. Sesuatu yang paling keji adalah sikap ujub dan bangga diri. Kemuliaan yang paling tinggi adalah akhlak yang mulia”.
Duit bukanlah kunci kepada segala kejayaan. Jika ia tidak disusuli dengan iman serta ilmu dunia dan akhirat, tidak mustahil ramai yang akan tersesat.


Baca Lagi...

Usahawan jatuh lingkup

Dia pernah merangkul anugerah pengedar terbaik sebuah syarikat automotif di negara ini, namun kini hidup melarat selepas diburu sembilan ceti haram atau along temasuk seorang pembiaya bergelar Datuk Seri.

Bukan saja perlu menanggung hutang mingguan berjumlah RM650,000, usahawan itu kini terpaksa menanggung bebanan hutang berjumlah RM7 juta sejak awal tahun ini.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurin, 40-an berkata, dia yang bercadang untuk menambah cawangan ruang pameran keretanya diperkenalkan kepada orang kenamaan (VIP) penghujung tahun lalu oleh seorang pegawai bank dengan nilai pinjaman RM5 juta.

Katanya, disebabkan beberapa masalah teknikal, pegawai itu kemudiannya merujuk permohonannya kepada VIP berkenaan kononnya boleh membantu mendapatkan pinjaman dalam tempoh singkat.

“Awal bulan lalu saya pergi ke sebuah bank di negeri ini untuk membuat pinjaman bagi mendapatkan empat bilik pameran kereta.

“Bagaimanapun pegawai bank berkenaan kemudian merujuk saya kepada seorang lelaki berpangkat Datuk Seri yang kemudiannya bersetuju memberikan RM5 juta tanpa menyatakan tempoh pembayaran balik. Disebabkan memerlukan modal pusingan segera, saya setuju,” katanya ketika membuat aduan kepada Pegawai Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yati Shaharudin.

Menurutnya, dia kemudian terpaksa berhutang dengan lapan along yang lain bagi melangsaikan hutang dengan Datuk Seri berkenaan dengan setiap satunya berjumlah antara RM50,000 hingga RM70,000 seminggu.

“Bagaimanapun, kini saya ketakutan apabila ada along yang bertindak menyimbah cat merah sebuah bilik pameran kepunyaan saya. “Disebabkan hal ini, salah sebuah bilik pameran terpaksa ditutup kerana kerugian besar kepada syarikat automotif berkenaan. Habis semua kereta baru yang sepatutnya untuk dijual kepada pelanggan terkena simbahan cat itu,” katanya.

Sementara itu Yati berkata, pihaknya sudah berhubung dengan along terbabit untuk menjadualkan semula dan menangguh pembayaran pinjaman Nurin kepada semua along terbabit.

“Kita juga memberikan khidmat kaunseling serta pengurusan kewangan kepadanya yang seperti hilang arah walaupun sebelum ini pernah menjadi usahawan automotif berjaya,” katanya.



Baca Lagi...

Selasa, 18 Mac 2014

3 ahli ‘Macau Scam’ perdaya nenek tumpas

Subang Jaya: Tiga ahli sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai bank berjaya diberkas polis, Sabtu lalu, selepas menipu seorang nenek supaya memindahkan wang berjumlah lebih RM1 juta.

Suspek yang berusia 30-an dikesan berjaya memperdaya mangsa berusia 68 tahun itu dengan mendakwa kononnya kad kredit mangsa digunakan individu tidak dikenali. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli berkata, ahli sindiket terbabit menghubungi mangsa dengan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai di sebuah bank terkemuka. 


“Suspek mendakwa ada individu menyamar dan menggunakan identiti mangsa untuk memohon kad kredit dan menggunakannya,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Menurutnya, mangsa diarah menghubungi seorang lagi pegawai didakwa bertugas di Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pemindahan wang dilakukan segera. 

“Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek akur memindahkan semua wang simpanannya ke akaun bank diberikan suspek sebelum menyedari ditipu,” katanya. 

Menurutnya, susulan laporan itu, polis menahan tiga suspek warga asing.

Baca Lagi...