Amalan-amalan ini  menjadi sebab Allah S.W.T limpahi  hamba-Nya dengan keluasan  rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.  Berdasarkan konsep rezeki yang telah  diperkatakan, Allah  S.W.T memberi  jalan buat setiap hamba-Nya  untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai  bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan  dunia dan akhirat. Di  antaranya:
 1.        Menyempatkan diri  beribadah
Allah S.W.T tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi : "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
 2.        Memperbanyak  istighfar
 
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang  hamba di depan Allah S.W.T , yang menjadi sebab Allah S.W.T jatuh kasih dan kasihan pada  hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi  s.a.w.:
"Barang siapa  memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t  akan menghapuskan segala  kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya  dan memberinya rezeki dari arah  yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad,  Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan  al-Hakim dari Abdullah bin Abbas  r.a.)
 3.        Tinggalkan perbuatan  dosa
 
Istighfar tidak laku di sisi Allah S.W.T jika masih buat dosa. Dosa bukan saja  membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi  s.a.w. : "… dan seorang  lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat  at-Tirmizi)
 4.        Sentiasa ingat Allah   S.W.T 
Banyak ingat Allah S.W.T buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah S.W.T beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
"(iaitu) orang-orang  beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah  S.W.T . Ingatlah, hanya dengan mengingati  Allah S.W.T hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd:  28)
 5.        Berbakti dan mendoakan  ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
"Siapa berbakti  kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah S.W.T akan memanjangkan umurnya." (Riwayat  Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa  juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi  s.a.w.:  
"Apabila hamba itu  meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah  S.W.T ) daripadanya." (Riwayat al-Hakim dan  ad-Dailami)
6.         Berbuat baik dan menolong orang yang  lemah
 
Berbuat  baik kepada orang yang  lemah ini termasuklah menggembirakan dan  meraikan orang tua, orang sakit, anak  yatim dan fakir miskin, juga  isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi  s.a.w.:
"Tidaklah kamu  diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di  kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)
7.         Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah S.W.T lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
"Siapa yang  menunaikan hajat saudaranya maka Allah  S.W.T akan menunaikan hajatnya…" (Riwayat  Muslim)
8.         Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.
9.         Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata : "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."
10.      Berpagi-pagi
 
Menurut  Rasulullah s.a.w.,  berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik  selesai solat Subuh  berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11.      Menjalin silaturrahim
 
Nabi s.a.w.  bersabda : "Barang  siapa ingin  dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka  hendaklah dia menghubungi  sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)
 12.     Melazimi kekal  berwuduk
 
Seorang  Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta  pedoman mengenai  beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T  Baginda s.a.w.  bersabda:  
"Sentiasalah berada  dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah S.W.T akan memurahkan rezeki."  (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13.      Bersedekah
 
Sedekah mengundang rahmat Allah  S.W.T dan menjadi sebab Allah  S.W.T buka pintu rezeki. Nabi s.a.w.  bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair,  ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh  Allah  S.W.T azza wajalla kepada setiap hamba  sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain,  nescaya Allah S.W.T membanyakkan baginya. Dan siapa yang  menyedikitkan, nescaya Allah  S.W.T menyedikitkan baginya." (Riwayat  ad-Daruquthni dari Anas r.a.) 
14.      Melazimi solat malam (tahajud)
 
Ada  keterangan bahawa  amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki,  menjadi sebab seseorang itu  dipercayai dan dihormati orang dan doanya  dimakbulkan Allah S.W.T . 
 15.      Melazimi solat Dhuha
 
Amalan  solat  Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia  (aktiviti  harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah 
dalam hadis qudsi: 
"Wahai  anak Adam,  jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat  pada waktu permulaan  siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan  keperluanmu pada petang  harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16.      Bersyukur kepada Allah S.W.T 
 
 Syukur ertinya mengakui segala  pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T  Lawannya adalah kufur nikmat. Allah  S.W.T berfirman: 
"Demi  sesungguhnya!  Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku  kepadamu, dan demi  sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku  amat keras." (Ibrahim: 7) 
Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi  balasan kepada orang-orang yang  bersyukur." (Ali Imran: 145)
 17.     Mengamalkan zikir dan bacaan ayat  Quran tertentu
 
Zikir  dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna  selain menenangkan,  menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat  khusus untuk  keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama,  diberi  kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya,  dua ayat  terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara  konsisten tujuh kali  setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi  sebab Allah  S.W.T lapangkan kehidupan dan murahkan  rezeki.
Salah satu nama  Allah S.W.T ,  al-Fattah (Maha Membukakan)  dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan  pintu rezeki jika diwiridkan selalu;  misalnya dibaca "Ya Allah  S.W.T ya Fattah" berulang-ulang, diiringi  doa: "Ya Allah  S.W.T ,  bukalah hati kami untuk  mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan  keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim."  Ada juga hadis  menyebut, siapa  amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan  ditimpa  kepapaan. Wallahu a'lam. 
 18.     Berdoa
 
Berdoa  menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah  S.W.T , penuh bergantung dan mengharap pada  rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah  S.W.T suruh kita meminta kepada-Nya,  nescaya Dia akan perkenankan.
19.      Berikhtiar sehabisnya
 
Siapa  berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan  bahawa Allah  S.W.T berikan dunia kepada orang yang  dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah  S.W.T beri kepada orang yang dicintai-Nya  saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi  orang beriman,  tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh  membawa kepada murah rezeki  dalam skop yang luas. Misalnya, hendak  tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak  yang baik dididiknya sejak  anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya  pemakanan dan makan yang  baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia  sendiri berusaha jadi  baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan  sebagainya.
20.      Bertawakal
 
Dengan tawakal, seseorang itu  akan direzekikan rasa kaya dengan Allah S.W.T  Firman-Nya: 
"Barang siapa  bertawakal kepada Allah S.W.T , nescaya Allah S.W.T mencukupkan (keperluannya) ."  (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w.  bersabda : "Seandainya kamu  bertawakal kepada Allah S.W.T dengan  sebenar-benar tawakal, nescaya  kamu diberi rezeki seperti burung  diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang  hari telah kenyang."  (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban,  al-Hakim dari Umar  bin al-Khattab r.a.) 
Kesemua yang disebut  di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah  S.W.T akan  beri "jalan keluar (dari segala  perkara yang menyusahkan) , dan  memberinya rezeki dari jalan yang tidak  terlintas di hatinya."  (At-Talaq: 2-3)
Pendek  kata, bagi  orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang  sebenarnya, kuncinya adalah  buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini  menjadi sebab jatuhnya kasih sayang  Allah  S.W.T , lalu Allah S.W.T limpahi hamba-Nya dengan keluasan  rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.


  
0 ulasan:
Catat Ulasan