Itu yang menjadi persoalan semua orang. Perkara pertama yang perlu dititikberatkan ialah soal keperluan dan kehendak. Memang tidak dinafikan, hati hendak beli semua benda yang mempunyai tag jualan murah. Bagi mereka yang tegar berbelanja, tidak kisah wang simpanan habis asalkan dapat puaskan hati sendiri. Tanya kembali diri anda, perlu atau tidak?
Tidak dinafikan, penggemar gajet mendapatkan apa saja gajet terbaru di pasaran. Tapi, hakikat yang pasti, dengan memiliki telefon pintar dan sebuah ‘tablet’ selama dua tahun sudahpun mencukupi.
Bertukar-tukar peranti pada setiap hujung tahun hanya membawa kepada pembaziran semata-mata. Begitu juga jika kita bincangkan soal membeli kenderaan baru.
Untuk eksekutif muda yang baru saja mempunyai pendapatan lumayan, pasti teringin sekali membeli kenderaan mewah. Namun apabila kita fikir kembali, jika sudah ada kereta yang lebih murah dan berikan keselesaan, ia sudah mencukupi sebenarnya. Ingat bahawa banyak perkara lain yang boleh dibuat daripada membeli kereta mewah.
Misalnya, anda boleh membuat simpanan di bank untuk tujuan kecemasan ataupun melaburkan duit itu untuk memulakan perniagaan atas talian. Nampak perbezaannya? Hadkan ‘nafsu’ dengan memikirkan untuk memenuhi keperluan diri terlebih dulu.
Elakkan daripada menjadi seorang yang tak mahu kalah dalam semua perkara. Walaupun hati cemburu melihat kawan memandu kereta mewah, ingat bahawa anda mempunyai pendirian dan objektif sendiri. Jika niat membeli barang mahal hanya untuk menunjuk-nunjuk, itu sebenarnya sudah lari daripada matlamat sebenar anda.
Cuba hidup dalam keadaan sederhana dan lebih penting anda gembira dengan apa yang anda miliki serta rasa bersyukur kepada Tuhan.
Pegangan orang berjaya iaitu susah dulu senang kemudian adalah istilah yang perlu ditanamkan dalam diri setiap anak muda. Realitinya jika mahu ikutkan kehendak, tidak pernah berakhir senarai barang pilihan yang ingin dibeli bahkan persepsi negatif itu boleh menjadikan anda lebih boros. Beberapa tip yang perlu untuk anda terapkan dalam diri.
1. Bergaya mengikut apa yang sesuai dengan diri anda dan bukan mengejar jenama semata-mata untuk kelihatan anggun dan kacak.
2. Beli peranti yang memudahkan hidup kamu untuk berhubung dengan rakan dan bukan menghabiskan duit ‘mengejar’ teknologi yang semakin berkembang pesat.
3. Sebagai generasi muda, elok dapatkan kereta yang boleh memberikan keselesaan dan lebih penting, anda mampu membayar ansuran kereta itu.
4. Dari aspek pemakanan, elak daripada boros setiap hari makan di restoran mahal. Cuba rancang perbelanjaan dengan betul. Walaupun makan di restoran bajet, biar murah asalkan kenyang!
5. Rancang perbelanjaan bulanan dengan teliti. Jika ingin ke konsert artis ataupun bercuti di luar negara, pilih pakej yang berpatutan asalkan ada lebihan wang simpanan.
0 ulasan:
Catat Ulasan