Situasi pasaran telefon pintar ketika ini dilihat begitu mencabar kepada pemain industri apabila kebanyakannya menawarkan pelbagai model baru dan sentiasa mendakwa produk merekalah yang paling maju serta menjadikan isu harga sebagai kayu pengukur sebagai status pemiliknya.
Pada masa sama, jika diperhatikan sejak kebelakangan ini syarikat pengeluar telefon dari rantau Asia menjadi tumpuan apabila mereka berpusu-pusu meneroka pasaran telefon pintar di pasaran global berbanding dulunya yang dikuasai oleh pemain industri dari Eropah.
Merujuk kepada laporan penguasaan pasaran dari firma penganalisis pasaran antarabangsa, Strategy Analytics, setakat suku kedua lalu, carta penguasaan pasaran telefon pintar global mula mencatatkan senarai pemain industri dari Asia yang lebih mendominasi iaitu Samsung, LG, Xiomi, Lenovo dan Huawei berbanding Apple serta syarikat telefon Eropah lain.
Situasi ini menunjukkan kehadiran syarikat telefon pintar dari Asia mula mendapat perhatian daripada pengguna global. Jika dilihat kepada prestasi penguasaan pasaran telefon pintar di Amerika Syarikat setakat suku kedua lalu seperti dilaporkan Nielsen, Samsung dan HTC mula mengejar kedudukan yang didominasi oleh Apple masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Baru-baru ini, IT@Metro menyertai perbincangan Frequencies Asia di Jepun yang dianjurkan oleh HTC dari beberapa media terpilih di rantau Asia Tenggara antaranya media dari Singapura, India, Thailand dan Jepun.
Menerusi perjumpaan itu, rata-rata pengamal media IT yang hadir bersependapat bahawa kemasukan telefon pintar dari Asia terutama China memberi cabaran kepada pasaran telefon pintar ketika ini.
Kebanyakan peserta yang hadir bersetuju iPhone sememangnya mempunyai kelasnya tersendiri serta menawarkan ciri premium walaupun harga ditawarkan bukan dalam segmen mampu milik.
Namun, jika dilihat kepada prestasi penguasaan pasaran global yang mula dipecahkan pemain industri telefon pintar Asia, segmen pengguna juga dilihat semakin berubah dan ia mampu menggoyahkan kedudukan iPhone pada masa depan.
Presiden HTC Asia Utara, Jack Yang berkata, pengenalan lebih banyak telefon pintar yang berada dalam segmen mampu milik dari Asia sememangnya memberi persaingan sihat dalam industri telefon pintar global.
Beliau berkata, lebih unik adalah setiap pemain industri bersifat lebih inovatif bagi memperkenalkan telefon pintar yang menepati cita rasa pengguna pada hari ini.
“Bagi HTC yang sememangnya mempunyai model telefon pintar yang inovatif baik dari segi reka bentuk mahupun sistem operasi.
“Terbaru, dengan memperkenalkan HTC Butterfly 2 yang mempunyai reka bentuk premium dan menyasarkan kepada golongan wanita adalah strategi kami untuk menjadikan model kali ini mampu mendapat perhatian pengguna di rantau Asia,” katanya.
Jack berkata, pengenalan HTC Butterfly 2 juga adalah strategi bagi menarik lebih ramai golongan wanita menggunakan produk baru itu kerana sebelum ini produk HTC lebih digemari pengguna lelaki.
“Menyasarkan produk kepada golongan wanita adalah satu strategi pasaran yang baik kerana mereka mempunyai pengaruh dalam pasaran,” katanya.
HTC Butterfly 2 adalah model ketiga dalam keluarga Butterfly selepas HTC Butterfly S dan HTC Butterfly yang diperkenalkan pada 2012 dan 2014 yang berjaya merekodkan pencapaian jualan terlaris di pasaran Jepun dan Taiwan.
Dalam satu taklimat semasa Frequencies Asia berlangsung, Pengarah Kanan, Pemasaran Produk HTC Asia Pasifik, Darren Sng berkata, telefon pintar terbaru HTC itu adalah model mempunyai ciri premium dari segi reka bentuknya dengan tidak mempunyai penutup belakang dan mudah dipegang penggunanya.
Katanya, selain itu, ciri ketahanan dari habuk dan air juga dibangunkan HTC pada model terbarunya itu kerana terdapat permintaan pengguna untuk mendapatkan telefon pintar
lebih lasak.
“Ciri duo kamera terletak di bahagian belakangnya juga memberi kelainan dan memudahkan penggunanya untuk lebih berkarya selepas mengambil gambar.
“Bagi memperkenalkan sebuah model telefon pintar baru di pasaran, kami mengambil masa untuk mengkaji kehendak pasaran termasuk trend diinginkan pengguna pada hari ini,”
katanya.
Selain itu, bagi pasaran Jepun, HTC memperkenalkan beberapa ciri lain yang tidak dijual pada pasaran antarabangsa lain antaranya fon telinga, JBL.
Tambahan, HTC juga menggunakan model gadis muda sebagai duta HTC Butterfly 2 di Jepun iaitu Kumpulan Nogizaka 46 adalah antara staregi menunjukkan model itu disasarkan kepada segmen wanita.
Jepun adalah destinasi pertama menjadi pilihan HTC untuk melancarkan HTC Butterfly 2 yang dilihat sebagai satu strategi untuk menerokai pasaran yang didominasi iPhone.
Strategi pengasingan segmen pengguna mengikut gender itu juga dilihat sebagai satu strategi pemasaran pemain industri telefon pintar seperti HTC.
Ini kerana jika dilihat kepada prestasi setiap telefon pintar dilihat hampir sama. Apa membezakannya adalah kemampuan syarikat itu meletakkan status kepada setiap model keluarannya.
Perkara ini boleh dilihat apabila iPhone yang tidak pernah berkrompromi dengan harga bersandarkan keyakinannya bahawa produknya akan sentiasa mendapat perhatian pembeli kerana status premium.
Begitu juga HTC yang cuba menerokai pasaran mengikut gender dengan memperkenalkan ciri yang mungkin lebih menarik perhatian wanita seperti dwi rakaman dan mampu menampilkan gambar dalam bentuk tiga dimensi.
Sememangnya pengeluaran model telefon pintar di pasaran sentiasa meningkat dan kehadiran syarikat pengeluar telefon pintar dari Asia bukan saja merancakkan persaingan antara pemain industrinya malah ia juga mampu menonjolkan status pembeli.
Sumber ~ Harian Metro online