Khamis, 15 Ogos 2019

Pantau Sendiri Tekanan Darah Tinggi

Hipertensi atau tekanan darah tinggi dikenali sebagai pembunuh senyap kerana lazimnya tidak menunjukkan gejala yang jelas. Satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada anda menghidap tekanan darah tinggi adalah dengan mengukur tekanan darah. Pengukuran tekanan darah tepat adalah penting untuk diagnosis yang betul.
Oleh itu, garis panduan menekankan penggunaan teknik yang tepat untuk mengukur tekanan darah, sama ada dilakukan kakitangan penjagaan kesihatan di klinik atau penghidap sendiri dengan menggunakan alat pemantau tekanan darah di rumah. Tahap tekanan darah harus berdasarkan purata dua hingga tiga pembacaan pada sekurang-kurangnya dua sesi ukuran.
Sedikit kesilapan biasa boleh menjejaskan bacaan tekanan darah. Ini termasuk mempunyai pundi kencing yang penuh (tahan kencing), duduk tidak dalam posisi yang betul atau bercakap ketika bacaan tekanan darah diambil.
Tekanan darah tinggi berlaku apabila daya yang menolak darah ke arah dinding saluran darah terlalu tinggi. Tekanan tambahan menyebabkan jantung terpaksa bekerja keras sambil menjejaskan fungsi saluran darah. Lama kelamaan, tekanan berkenaan merosakkan tisu dalam saluran darah yang akhirnya menggugat sistem jantung dan peredaran.
Kerosakan pada pembuluh darah bermula tidak lama selepas tekanan darah naik. Pemeriksaan awal dapat bantu mencegah masalah, memperlahankan kerosakan yang sudah bermula dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok. Perubahan gaya hidup perlu diletakkan sebagai matlamat utama untuk menangani wabak tekanan darah tinggi.
Bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu berkenaan maksud dan kesan buruk penyakit ini apabila hipertensi menduduki tempat kedua sebagai penyakit yang paling berisiko mengakibatkan kematian di negara ini. Lebih buruk apabila dua pertiga daripada kes terbabit masih belum didiagnosis.

0 ulasan:

Catat Ulasan