Jumaat, 16 Mac 2012

Internet sumbang 4.1% KDNK

PENGGUNAAN Internet di Malaysia menyumbang sehingga 4.1 peratus dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2010, melebihi angka yang dicatatkan negara membangun seperti Amerika Syarikat (3.8 peratus) dan China (2.6 peratus).

Menurut kajian firma penyelidik McKinsey dan syarikat teknologi maklumat Google, perkembangan pesat Internet menjadi salah satu industri utama di Malaysia yang menyumbang sehingga RM30 bilion kepada keseluruhan KDNK bernilai RM738 bilion. Ketua McKinsey & Company, Nimal Manuel berkata, ini sekali gus menempatkan Malaysia antara 30 negara berkembang pantas dan penting bagi masa depan Internet. “Berdasarkan penyelidikan, kami menjangkakan Malaysia melihat peningkatan nilai aktiviti domestik berdasarkan Internet yang menyumbang kepada ekonomi negara dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

“Kadar penembusan Internet di Malaysia berganda antara 2008 dan 2010, namun Internet masih banyak potensi yang belum diterokai,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, sebagai contoh, walaupun perniagaan di Malaysia menjual lebih banyak produk atau perkhidmatan secara online berbanding negara lain, dari segi pengiklanan ia masih jauh berbeza. Penyelidikan dinamakan ‘Online and Upcoming: The Internet’s Impact on Aspiring Countries’ turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang dan Pengurus Negara Google Malaysia Sajith Sivanandan. 




>>> RAWATAN & SIHAT Tanpa UBAT <<<

0 ulasan:

Catat Ulasan