Khamis, 11 Julai 2019

Gangguan Tiroid dan Diagnosis Penyakit Tiroid


Penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki dan ia juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan.

Secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua sama seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan triiodotiroksin (T3).

Hormon ini mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi badan yang dipanggil metabolisma. Peningkatan hormon ini bermakna metabolisme badan meningkat dan begitulah sebaliknya jika hormon terbabit berkurangan.

Diagnosis Penyakit Tiroid

Terdapat ujian dan pemeriksaan yang boleh digunakan untuk diagnosis penyakit tiroid. Penghidapnya juga mungkin akan menghidap penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

Leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan.

Kulit dan mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.

Hipotiroid

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon tidak dikeluarkan secukupnya.

Menurut Dr Siti Aisyah, ubat yang diambil untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma.

Lazimnya, penyakit hipotiroidisma ini disebabkan oleh keradangan pada kelenjar itu yang dipanggil tiroiditis.

Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto. Penyakit autoimun ini merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid, ujarnya.

Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid bekerja dengan lebih kuat.

Ini menyebabkan kelenjar itu membesar yang dipanggil goiter. Lama-kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

Sementara itu, cara pemakanan yang tidak betul juga boleh menyebabkan hipotiroidisma.

Tambahnya, ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan penghidapnya sememangnya menghidap hipotiroidisma. Sekiranya paras hormon normal, mungkin individu itu mempunyai penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan.

Hormon tiroid akan diberikan supaya paras hormon tiroid badan kembali normal dan terdapat kemungkinan anda terpaksa mengambil hormon ini selama-lamanya

Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala dan ujian darah mungkin dilakukan.

Hipertiroid

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid mengeluarkan hormon secara berlebihan. Ini menyebabkan metabolisma badan meningkat. Penyakit ini lazimnya berlaku pada wanita sekitar usia 20 hingga 40 tahun.

Menurut Dr Siti Aisyah, penyakit Grave ialah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar ini. Kebiasaannya ia kelihatan pada bahagian mata penghidapnya.

Selain itu, ubat yang diambil untuk penyakit hipotiroid juga mungkin menyebabkan hipertiroid dan disebabkan itu pengawasan doktor amatlah penting.

Penyakit hipertiroid ini boleh juga menyebabkan ribut tiroid terutama apabila individu itu mengalami masalah kesihatan lain yang akut. Ribut tiroid ini menyebabkan penghidapnya demam, peningkatan degupan jantung, dan juga perubahan fungsi otak seperti kekusutan pemikiran, sawan, cemas keterlaluan dan mungkin juga menyebabkan koma, ujarnya.

Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid dan ubat untuk mengurangkan degupan jantung juga mungkin perlu diberikan.

Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin beradioaktif diberikan dengan tujuan untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid. Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan yang boleh membantu.

Sekiranya individu itu mendapati ada bengkak kecil iaitu nodular pada kelenjar tiroid, pemeriksaan perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada ia kanser ataupun masalah nodular biasa, katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ultrabunyi dan juga biopsi atau penggunaan jarum perlu dilakukan. Rawatan lanjut akan dibincangkan doktor dengan pesakit ketika sesi rawatan kesihatan susulan.



0 ulasan:

Catat Ulasan