Jumaat, 16 Mac 2012

Bahaya makanan segera - punca penyakit

Makanan segera sebenarnya adalah makanan yang mengandungi kandungan lemak trans-fats, gula, garam dan bahan kimia yang tinggi. Ia juga dikategorikan sebagai 'sampah' dan mengancam kesihatan terutama kanak-kanak.

Penyakit-penyakit yang dicetuskan oleh makanan ini adalah kegemukan, diabetes, jantung dan kanser.

Apa itu makanan segera? Laman web Wikipedia merujuk makanan segera sebagai makanan yang dimasak terlebih dahulu dalam jumlah yang besar dan cuma perlu dipanaskan semula mengikut kehendak pembeli.

Ia biasanya tidak berkhasiat dan pendedahan mengenai keburukannya mengatasi kebaikan.

Dalam konteks Malaysia, ia bukan lagi datangnya dari restoran-restoran makanan segera yang lazim dikenali, tapi merangkumi makanan sejuk beku yang dipercayai mengandungi bahan pengawet yang berbahaya.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), antara makanan dan minuman segera yang dikategorikan sebagai tidak berkhasiat ialah mi segera, minuman bergas, gula-gula, burger dan coklat.

Makanan terbabit merupakan penyumbang kepada penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang yang dihidapi kira-kira tiga juta penduduk negara ini.

Malah, dua juta rakyat negara ini iaitu 8.5 peratus daripada 26 juta penduduk, didapati menghidap penyakit diabetes, yang kebanyakannya berpunca daripada makanan.

CAP dalam kajiannya turut mendapati hampir keseluruhan murid-murid sekolah menjadi sasaran kepada makanan segera dan terdedah kepada gejala penyakit kritikal itu sejak di usia muda.

 

0 ulasan:

Catat Ulasan