JAHAT mana sekalipun seseorang itu, pastinya jauh dalam sudut hati setiap hamba Allah SWT mengidamkan untuk masuk ke syurga.
Menurut pendakwah terkenal, Datuk Fadzilah Kamsah dalam laman Facebook miliknya memetik enam pesanan indah pendakwah Indonesia, Kiyal Maimun Zubair bahawa untuk memasuki syurga adalah amat mudah.
Justeru, beliau berkongsi pesanan tersebut agar orang ramai dapat memanfaatkannya dalam kehidupan. Enam pesanan tersebut adalah:
1. Jika melihat seekor semut tergelincir dan jatuh ke dalam air, maka angkat dan tolonglah, barangkali itu menjadi penyebab keampunan bagimu di akhirat.
2. Jika menjumpai batu kecil di jalan yang boleh mengganggu perjalanan kaum Muslimin, maka singkirkanlah, barangkali itu menjadi penyebab dimudahkan jalanmu menuju ke syurga.
3. Jika menjumpai anak ayam terpisah daripada induknya, maka ambil dan susulkan semula dengan induknya. Semoga itu menjadi penyebab Allah SWT mengumpulkan dirimu dan keluargamu di syurga.
4. Jika melihat orang tua memerlukan tumpangan, maka tumpangkan dan hantarkanlah dia. Barangkali itu menjadi sebab kelapangan rezekimu di dunia.
5. Jika anda bukanlah seorang yang menguasai banyak ilmu agama, maka ajarkanlah ‘alif ba ta’ kepada anak-anak kamu. Setidaknya itu menjadi amal jariah untukmu yang tidak akan terputus pahalanya meski engkau berada di alam kubur.
6. Jika tidak mampu berbuat kebaikan sama sekali, maka tahanlah tangan dan lisanmu daripada menyakiti, setidaknya itu menjadi sedekah untuk dirimu.
Al-Imam Ibnul Mubarak Rahimahullah berkata yang bermaksud: “Berapa banyak amalan kecil, tetapi menjadi besar kerana niat pelakunya. Dan berapa banyak amalan besar, menjadi kecil kerana niat pelakunya”
Jangan pernah meremehkan kebaikan, boleh jadi seseorang itu masuk syurga bukan kerana puasa sunatnya, bukan kerana panjang solat malamnya, tetapi boleh jadi kerana akhlak baik dan sabarnya ketika musibah datang melanda.
0 ulasan:
Catat Ulasan