Ahad, 11 Mac 2012

Mesin pengundian elektronik timbulkan keraguan

WASHINGTON - Masalah-masalah yang dialami oleh mesin pengundian elektronik menimbulkan persoalan baharu berkaitan teknologi pilihan raya ketika sistem komputer itu bakal digunakan pada pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada November depan. 

Sebanyak 25 peratus rakyat AS dijangka menggunakan mesin-mesin pengundian tersebut. Namun, keyakinan terhadapnya dilihat semakin terhakis, jelas Yayasan Pengundian yang Disahkan (VVF). 

Yayasan itu yang mahukan sistem pilihan raya lebih bagus menyatakan mesin pengundian di 11 buah negeri adalah elektronik sepenuhnya. Ia juga tidak mempunyai sistem kertas bagi tujuan kiraan semula. 

Tahun lalu, pihak Microsoft Research menerbitkan satu laporan yang menjelaskan tentang pelbagai kelemahan sistem Rakaman Elektronik Lanngsung (Direct Recording Electronic, DRE) yang membolehkan penggodam mengubah bilangan undi dalam jumlah besar tanpa boleh dikesan. 

Aspek keselamatan dan teknologi pilihan raya telah menjadi isu di AS sejak pilihan raya presiden pada tahun 2000 yang dicemar oleh 'undi hantu' di negeri Florida yang membuatkan keputusan bercelaru. 

"Masih terdapat beberapa buah negeri yang tidak memiliki sistem kiraan semula yang meyakinkan. Sekiranya berdepan masalah, mereka tidak mampu menanganinya," kata Pamela Smith daripada VVF. 

Pada September tahun lalu, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Roger Johnston daripada Argonne Lab membuktikan bahawa undian di sebuah mesin pengundian dapat diubah. Dengan hanya menggunakan satu peranti berharga AS$25 (RM75) ia mampu memanipulasi skrin sentuh mesin pengundian dan boleh dikawal dari jarak jauh. - AFP


0 ulasan:

Catat Ulasan