Jumaat, 16 Mac 2012

Hamid kian hilang sabar kerenah AS

KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, menyelar AS dan mendakwa dia “semakin hilang sabar” ekoran kegagalan sekutunya itu bekerjasama dalam siasatan pembunuhan orang awam oleh tentera negara itu.

Ketika bertemu dengan kira-kira 30 keluarga mangsa di selatan Afghanistan semalam, Hamid berkata, delegasi dihantarnya bagi menyiasat insiden berkenaan tidak mendapat kerjasama.

“Masalah ini berlarutan terlalu lama dan perlu dihentikan.

“Aktiviti dan tingkah laku mereka tidak boleh diterima dan membuang masa,” katanya kepada media.

Dalam pertemuan itu juga, waris mangsa yang ditembak tentera AS itu percaya, insiden berkenaan membabitkan lebih daripada seorang penyerang.

Mereka juga kesal kerana tidak menerima maklumat yang dikehendaki daripada tentera AS.

Sebelum ini, pegawai Afghanistan berkata, AS menyembunyikan rakaman kamera litar tertutup yang merekodkan kejadian berkenaan.

Hamid berkata, dia mahu hubungan baik dengan AS diteruskan, tetapi keadaan semakin sukar.

Katanya, untuk mewujudkan keadaan itu, AS perlu menghormati budaya dan undang-undang Afghanistan.

Kelmarin, kempen antimilitan di Afghanistan menerima tamparan apabila Taliban mengumumkan, mereka enggan meneruskan rundingan dengan Kabul dan AS dalam usaha mempercepatkan penyerahan kawalan keselamatan di Afghanistan.

Kecaman itu dibuat ketika suspek pembunuhan 16 orang awam itu dilaporkan akan diterbangkan pulang ke AS sebelum sempat kes berkenaan disiasat sepenuhnya. - AP



>>> RAWATAN & SIHAT Tanpa UBAT <<<

0 ulasan:

Catat Ulasan